Kerajaan Sudah Lama Sediakan, Pembangkang Baru Nak Berjanji

Janji pembangkang untuk menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat dilihat bukan satu idea baru kerana kemudahan itu sudahpun dirancang oleh kerajaan dan sebahagiannya telahpun dilaksanakan.

Malah infrastruktur yang telah dan akan disediakan kerajaan mencakupi kawasan jauh lebih luas sehingga ke luar bandar dan tidak hanya bandar dan separa bandar yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang dalam perancangannya dalam apa yang dikenali sebagai Buku Jingga.

Muhammad Nizam Ismail, seorang peminat perkembangan ICT, berkata cadangan pembangkang itu hanya untuk mengabui mata rakyat kerana mereka sendiri pun tahu bahawa di bandar dan separa bandar banyak tempat sudah mempunyai kemudahan itu.

“Rata-rata restoran mamak dan ‘food court’ serta kompleks beli belah sejak lama sudah menyediakan Wi-Fi percuma sebagai tarikan pelanggan. Tak payahlah pembangkang cuba nak jadi juara, nak mendakwa semua itu usaha mereka,” katanya.

Lagipun masyarakat bandar dan separa bandar rata-rata lebih mampu mengeluarkan belanja sendiri untuk mendapatkan akses kepada internet termasuk Wi-Fi dan perkhidmatan serupa yang jauh lebih laju sekarang, berbanding masyarakat luar bandar yang menjadi tumpuan kerajaan.

Kerajaan sudah memperkenalkan projek Kampung Wi-Fi, yang membabitkan lebih 3,100 kampung di 400 kawasan di seluruh negara, dan sejak empat bulan lepas, 180 buah kampung sudah menikmatinya manakala Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyasarkan 18 bulan lagi untuk melengkapkannya.

“Projek ini dipercepatkan memandangkan ia begitu menarik minat generasi muda yang tinggal di luar bandar berdasarkan maklum balas yang diterima hasil projek yang sudah dilaksanakan setakat ini,” kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Setiap projek dianggarkan menelan belanja RM15,000 jika menggunakan akses telefon awam dan RM25,000 hingga RM30,000 menggunakan satelit serta bergantung kepada jaraknya dari pusat bandar atau pusat komuniti yang menempatkan peralatan sambungan internet tanpa wayar.

Saluran jalur lebar Kampung Wi-Fi adalah saluran yang dapat memberi faedah besar kepada rakyat, dan walaupun tidak begitu laju pada masa ini, dengan perkembangan teknologi akan datang kecepatan itu dapat diperbaiki.

Kerajaan kini hanya memerlukan tiga peratus lagi untuk mencapai sasaran 60 peratus penembusan perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara sehingga akhir tahun ini dan rakyat di luar bandar mendapat akses kepada teknologi itu sama seperti penduduk bandar.

Yang pasti, sejak dua tahun lepas kerajaan BN sudah melaksanakan projek jalur lebar melalui Kampung Wi-Fi, membina rangkaian gentian optik, membina jalur lebar di daerah-daerah dan memasang beratus-ratus menara pemancar menggunakan peruntukan kerajaan dan diberi secara percuma kepada rakyat.

“Fakta-fakta sebegini perlu dimaklumkan kepada rakyat supaya mereka tidak mudah terpesona dengan janji-janji kosong pembangkang,” kata Imsil Mohd Shahriman, penduduk Kampung Tersusun Tasek, Ipoh.

Pakatan pembangkang melalui Buku Jingga tiba-tiba tampil membuat janji kepada rakyat, sebagaimana mereka cuba memainkan isu kononnya Felda muflis walaupun Felda telah lama menempa kejayaan hasil usaha kerajaan.

Anggota Parlimen Barisan Nasional kawasan Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan, berkata hasil maklumat balas sebuah syarikat penyedia khidmat Wi-Fi, syarikat Wireless@KL, kos untuk membangunkan prasarana dan perkhidmatan Wi-Fi percuma di Kuala Lumpur dengan luas 224km persegi sahaja akan mencecah RM64 juta.

Ia membabitkan modal sebanyak RM50 juta manakala perbelanjaan operasi sebanyak RM14 juta dan kalau dikembangkan ke bandar di seluruh negara termasuk ke Kota Kinabalu dan Kuching, kos kesemuanya ialah RM1.2 billion.

“Kos Wi-FI percuma RM1.2 billion itu juga akan membabitkan kos pertambahan sebanyak 0.17 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar dan kemungkinan kewangan kerajaan terhutang dan defisit jika semua janji lain dalam Buku Jingga itu turut dilaksanakan,” katanya.

Cassandra James, seorang penulis keturunan Amerika-Britain yang kini menetap di Bangkok, menulis dalam sebuah forum online menyatakan rasa kagum dengan kemudahan internet yang ada di Kuala Lumpur sekarang berbanding beberapa tahun lepas.

Penulis artikel perjalanan, kesihatan dan hiburan ini, mengakui bahawa Kuala Lumpur adalah satu daripada ibu kota terbaik di Asia Tenggara daripada segi kemudahan internet Wi-Fi percuma.

Walaupun inisiatif-inisiatif yang dinyatakan oleh penulis ini mungkin disediakan oleh syarikat swasta yang mengusahakan restoran, pusat membeli belah dan kawasan awam, ia juga merupakan hasil galakan kerajaan yang mendorong pelbagai pihak memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Kerajaan juga dari semasa ke semasa mengkaji pendekatan insentif dan subsidi bagi meringankan tanggungan kos membabitkan khidmat Wi-Fi dan jalur lebar dengan harapan menjadikan rakyat Malaysia masyarakat bermaklumat berjaya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan