Rakyat Sokong:BN Yakin Mampu Tebus Semula Selangor


AMPANG, 29 Mac – Barisan Nasional (BN) telah mengenalpasti sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang berpotensi untuk dirampas kembali pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN kembali menerajui negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun BN mungkin menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang, namun jika ada usaha gigih dan kerjasama daripada semua parti komponen, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“BN memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN untuk membolehkan kita memerintah semula di Selangor, sekarang kita kekurangan sembilan kerusi. Strategi sudah mula diatur untuk menebus kembali sembilan kawasan DUN berkenaan untuk memastikan kita mendapat semula Selangor.
“Ini matlamat BN di peringkat pusat dan negeri dan ia suatu pertempuran yang sengit kerana kita sedar tentunya pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau turut menasihatkan rakan-rakan BN di Selangor supaya bekerja keras bermula dari sekarang bagi memastikan kemenangan parti.
Majlis berkenaan dihadiri pemimpin dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, Rukun Tetangga, anggota jawatankuasa masjid dan surau di Selangor, yang diadakan sempena lawatan sehari timbalan perdana menteri ke Selangor hari ini.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Timbalan Menteri Kewangan merangkap Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai.
Mengenai lawatan turun padangnya hari ini, Muhyiddin melahirkan rasa  gembira dan bersyukur dengan sambutan rakyat di Selangor terutama di beberapa kawasan yang telah dilawati hari ini termasuk di Ampang.
Menurutnya itu merupakan petanda baik dan menunjukkan manifestasi sokongan mereka terhadap kerajaan pusat terutama pembaharuan serta transformasi yang telah dilaksanakan di bawah kepimpimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya bersyukur  sambutan cukup menggalakkan dengan kehadiran daripada bandar dan luar bandar keluar beramai-ramai dan saya percaya ianya  menifestasi sokongan mereka kepada kerajaan BN tentang penerimaan mereka kepada usaha yang telah dilakukan dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan banyak pembaharuan dan transformasi.

“Dan saya percaya mereka memberi penilaian yang positif kepada apa yang telah kita lakukan. Dalam peluang sebegini saya ambil untuk berinteraksi mendapatkan maklumbalas dalam soal jawab terbuka.
“Mereka kemukakan pandangan, pendapat, minta kerajaan terus berikan perhatian untuk membela golongan yang miskin, mereka yang perlukan bantuan dan sebagainya. Ini menunjukkan  harapan mereka kepada kerajaan yang ada hari ini di peringkat pusat sesungguhnya amat tinggi,” katanya.
Terdahulu sebelum itu beliau bersama rakyat di Sijangkang, Teluk Datok dan Jenjarum.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN seterusnya menambah, rakyat mungkin sudah faham dengan pelbagai pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dalam melaksanakan tanggungajwab terhadap negara dan rakyat.

“Mungkin berdasarkan kepada apa yang sudah mereka faham pendekatan yang diambil Datuk Seri Najib di bawah Gagasan 1Malaysia, mereka  rasa lebih “confident”, dan sebab itu saya sebutkan tadi bukan sahaja dari segi ungkapan tetapi dari segi bahasa badan dengan mereka keluar, mesra dan secara sukarela, ini adalah petanda baik  mereka memberi sambutan kepada BN dan pada usaha yang dibuat oleh kerajaan pusat,” katanya.

Muhyiddin seterusnya menambah, pihaknya telah mengambil kira pelbagai pendekatan dan juga strategi dalam usaha mendekati rakyat. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan