Exco ditegur supaya jawab soalan bukan "beri ceramah”




SHAH ALAM 31 Mac – Seorang exco kerajaan negeri Selangor hari ini ditegur oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim supaya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bukannya “memberikan ceramah”.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari ditegur semasa menjawab soalan Warno Dogol (BN-Sabak) mengenai sumbangan kerajaan negeri yang signifikan dalam meningkatkan hasil padi negeri semasa sesi soal jawab pada persidangan dewan itu hari ini.

"Sila fokus kepada soalan yang dikemukakan,” kata Chang Khim apabila Yaakob asyik menerangkan proses penanaman padi yang betul termasuk soal “batas dan parit" hinggakan Warno bangun mengutarakan soalan tambahan kerana beliau mahukan Yaakop menjawab mengenai bentuk bantuan kerajaan negeri untuk penanam padi di Selangor.

Yaakob berkata, kerajaan negeri memberikan peruntukan antara RM3 juta dan RM4 juta setahun sejak tiga tahun lepas bagi membantu petani meningkatkan hasil padi.

Beliau berkata sumbangan kerajaan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam teknologi pertanian seperti yang beliau terangkan semasa menjawab soalan Warno.

Yaakob juga menyalahkan kualiti benih padi yang dibekalkan kepada petani yang didakwa mengandungi banyak padi angin menyebabkan hasil tuaian merosot.

Dalam soalan tambahan, Warno bertanya mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri memandangkan pesawah di Sungai Besar mengalami kemerosotan hasil tuaian kerana masalah kekurangan air hinggakan mereka terpaksa menyewa pam air untuk mengairi bendang mereka.

Yaakob berkata, buat sementara waktu ini Jabatan Pengairan dan Saliran memberi bantuan peralatan kepada petani untuk mengepam air ke bendang mereka sementara menunggu pembinaan sistem pengairan yang lebih baik untuk penyelesaian jangka panjang. - Bernama

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan