
Kuala Lumpur: Anggota Parlimen Kinabatangan daripada Barisan Nasional Datuk Bung Moktar Radin hari ini ditegur kerana mengeluarkan perkataan kesat semasa persidangan Dewan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menegur Bung Moktar kerana mengeluarkan perkataan 'syaitan bodoh' ketika sesi soal jawab yang bermula pada 10 pagi Khamis.
Perbuatan Bung itu turut tidak disenangi Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam), M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sehingga sesi soal jawab itu tertangguh selama 15 minit.
Wan Junaidi berkata sebagai Anggota Parlimen yang mewakili rakyat bagi kawasan masing-masing, mereka harus menggunakan perkataan yang sesuai dan bersikap 'gentleman'.
"Saya minta semua orang (Anggota Parlimen) menggunakan perkataan yang baik... perkataan yang tidak betul jangan sesekali dipakai di dalam Dewan.
"Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi kerana kalau keluar juga, ini bermakna seperti peraturan kita sudah masuk ke dalam tong sampah," katanya.
Bung Moktar kemudiannya menarik balik perkataan itu dan berkata beliau hanya mahu meminta penjelasan daripada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhubung soal pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Sinar Jaya di kawasannya.
Soalan Bung Moktar dijawab oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek. -BERNAMA
Tiada ulasan:
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan