Pembangkang Kekeringan Idea-Politik

Pembangkang kekeringan idea politik

MOHD. Shafie Apdal berkata sesuatu kepada penduduk kampung yang hadir semasa majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Lembah Bakti, semalam

Selepas 'merampas' kad pengenalan warga tua, Pas meneruskan taktik kotor mereka dengan menyebarkan pula risalah kononnya 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' menolak calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim.

Risalah itu yang tertera lambang BN berbunyi, 'Kami penyokong Linda (Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh) menolak Tok Ai (Mohd. Azahar)' dikesan ditaburkan di kawasan Kampung Mambai oleh beberapa penduduk hari ini.

Taktik jahat itu kemudian didedahkan sendiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu majlis di sini hari ini sebelum beliau kecewa dengan pendekatan politik terdesak jentera Pas, sebaik kempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bermula semalam.

Sejurus pendedahan itu, Haslinda sendiri membuat laporan polis di Balai Polis Labis di sini pada pukul 1.30 petang ini.

Pendedahan taktik jahat terbaru pembangkang itu hanya kurang 12 jam selepas seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mendedahkan jentera Pas 'merampas' kad pengenalan warga tua kononnya bertujuan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan tetapi sebaliknya mahu menghalang warga tua keluar mengundi pada 30 Januari ini.

Ketika mendedahkannya, Mohd. Shafie berkata, Pas sudah kekeringan idea politik dan tiada modal untuk meraih sokongan pengundi di Tenang sehingga pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan fitnah demi memecahkan perpaduan ummah.

"Mereka ini jelas terdesak sehingga sanggup menyamar demi memecahkan jentera UMNO dan BN. Kononnya Pergerakan Wanita UMNO di Labis ini menolak calon kita kerana tidak meletakkan wanita sebagai calon sebagaimana Pas lakukan.

"Apakah hanya ini yang mampu dilakukan oleh Pas untuk meraih undi, inikah parti yang kononnya mahu mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat, bukan ini caranya, gunalah pendekatan berhemah," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan kunci rumah kepada penduduk miskin yang dibina RISDA, di Kampung Lembah Bakti di sini hari ini.

Dalam pada itu, Haslinda yang ditemui selepas membuat laporan polis menafikan kononnya beliau dan penyokongnya menolak Mohd. Azahar sebagai calon BN.

Sebaliknya, kata beliau, mereka memberi sepenuh sokongan kepada Mohd. Azahar dan tidak pernah mempersoalkan pencalonannya.

Selain itu, beliau menafikan kewujudan 'Persatuan Veteran Wanita UMNO Labis' seperti ditulis dalam risalah yang dipercayai dicetak oleh pihak pembangkang itu.

"Saya kesal kerana pembangkang sanggup menipu rakyat dengan cara kotor ini. Namun, saya yakin ahli-ahli Wanita UMNO dan pengundi di DUN Tenang tidak akan terpengaruh dengan fitnah ini," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bakti, Ahmad Abd. Rani, iaitu antara individu pertama menemui risalah tersebut berkata, beliau kecewa dengan fitnah ditaburkan oleh Pas.

Beliau berkata, rakyat tidak menolak kehadiran jentera Pas tetapi biarlah kedatangan itu secara berhemat dan bukan dengan niat mahu memecah-belahkan masyarakat.

from....utusan

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan