Taib yakin BN menang dua pertiga

KUCHING: Pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 bermula esok dengan anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab
mereka menjelang hari pengundian sebenar tiga hari lagi.

Pengundi pos berjumlah 18,363 daripada 979,796 pemilih berdaftar. Tempoh 72 jam akan datang menyaksikan kempen memuncak tatkala Barisan Nasional (BN) berusaha mempertahankan kawasan yang dikuasai mereka daripada dirampas pembangkang yang diterajui parti berpangkalan di Semenanjung - DAP dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata Barisan Nasional (BN) akan mendapat kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya negeri Sabtu ini kerana kawasan-kawasan Bumiputera tetap bersama kerajaan. Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata beliau juga nampak perubahan dalam sokongan daripada pengundi Cina di beberapa kawasan yang dikatakan "hitam" kerana kalangan pengundi Cina, yang berusia 35 tahun ke atas berpendapat
masyarakat itu perlu ada wakil dalam kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN pusat dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan meneruskan kempen mereka di kawasan masyarakat Dayak di pedalaman dan kawasan bandar majoriti kaum Cina. Kedua-dua mereka mempunyai program berasingan di Miri di mana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti yang mewakili kaum Cina dalam komponen BN negeri,
terbabit dalam pertandingan dengan DAP di kerusi-kerusi majoriti kaum Cina. Antara kawasan berkenaan ialah kerusi Dewan Undangan Negeri Piasau yang akan dipertahankan oleh Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan.Perdana Menteri juga dijadual melawat Sibu sebelum kembali ke Kuala Lumpurpada Jumaat.

Sementara itu, Parti Cinta Malaysia (PCM), yang julung kali bertanding dalam pilihan raya negeri dengan meletakkan 10 calon, mengingatkan rakyat Sarawak akan bahaya yang menanti mereka sekiranya mereka mengundi pakatan pembangkang DAP,Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Naib Presiden PCM yang berpangkalan di Pulau Pinang, Huan Cheng Guan berkata jika pakatan pembangkang mengambil alih Sarawak, mereka akan bawa masuk orang mereka dari Semenanjung ke Sarawak untuk 'cari makan'".Beliau berkata DAP telah berbuat demikian di Pulau Pinang apabila mereka mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 2008 dan telah memberi layanan buruk kepada penduduk negeri itu. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata sebanyak 250 lagipermit ceramah dikeluarkan dalam tempoh 24 jam lepas dan beliau sekali lagi
mengingatkan parti-parti agar tidak menyentuh soal sensitiviti kaum. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan