Taman Terracota Di Kubang Pasu



PONDOK kayu dengan rekabentuk tradisional yang dilengkapi roda kereta lembu antara tempat rehat di beberapa sudut taman tersebut.


MELANGKAH memasuki gerbang ukiran klasik bermotifkan flora coklat muda di Taman Rekreasi Lye Huat, pasti membuatkan pengunjung merasai seolah-olah berada di negara China.

Berkonsepkan tradisi masyarakat China, ia tambah menarik dengan gabungan seni Nusantara dan Eropah yang mampu menggamit ramai pengunjung.

Terletak di daerah Kubang Pasu, Kedah, jarak perjalanan dari Alor Setar ke taman landskap itu ialah kira-kira 30 kilometer (km). Ia hanya mengambil masa 28 minit melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).


JAMBATAN simen buluh dengan senibina China merentasi di tengah-tengah kolam antara tarikan kepada pengunjung



Bagi melihat sendiri keindahan taman tersebut, kru Jurnal sempat berkunjung ke lokasi yang jaraknya hanya 14 km dari sempadan Thailand itu baru-baru ini.

Pengunjung pasti terpesona dengan keunikan barisan arca tentera purba Terra Cotta sebesar saiz manusia dewasa yang dibawa khas dari China.

Taman tersebut dilengkapi kolam dengan susunan batu bulat di sekeliling tebingnya sekali gus menonjolkan kekemasan malah dihidupkan lagi oleh ribuan ikan kap yang sentiasa bertindak balas terhadap gerakan seolah-olah tidak henti-henti meraikan kedatangan pelawat.

Tambah menarik apabila pukulan alat muzik klasik dengan corak unik seakan-akan bunyi gamelan memukau pengunjung untuk terus meneroka setiap ruang di taman berkenaan.


ARCA tentera terracotta yang terdapat di Taman Rekreasi Lye Huat mempunyai saiz yang sama dengan manusia dewasa dibawa khas dari China.



Menurut Pengurus Taman Rekreasi itu, Khor Chang Kheng, taman yang dibangunkan pada tahun 2002 itu diilhamkan oleh pemiliknya, Datuk Lim Lye Huat yang merupakan seorang pencinta seni, alam sekitar dan haiwan.

Chang Kheng memberitahu, pada mulanya, kawasan seluas 5.7 hektar itu hanyalah tempat menyimpan koleksi barangan antik Lye Huat, namun pada tahun 1998, rakan beliau mencadangkan agar barangan tersebut dipamerkan kepada orang ramai.

“Koleksi barangan pameran di sini kebanyakan diperoleh dari dalam negara. Bagaimanapun, terdapat sesetengah barangan diimport dari China.

“Taman Rekreasi Lye Huat mempunyai keistimewaan tersendiri daripada rekaan landskap, bahan pameran dan konsep gabungan pelbagai seni.

“Pengunjung juga digalakkan berehat di mana sahaja di taman ini supaya mereka lebih dekat dan mesra dengan alam semula jadi,” katanya.


LORONG Nostalgia mempamerkan kira-kira 30 koleksi basikal klasik yang kebanyakan buatan England.



Taman rekreasi itu turut menyediakan pelbagai pameran lain seperti Galeri Suiseki, Taman Bonsai, Lorong Nostalgia, Galeri Lukisan dan Zoo Mini.

Kini, kawasan itu bukan sahaja dikenali sebagai tempat peranginan malah ia menjadi pentas pelbagai pertandingan berkaitan hobi.

Antaranya, pertandingan ikan jenis lohan, bonsai serta suiseki peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan