Konstabel parah

GEORGETOWN: Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang dalam perjalanan pulang daripada tugasan cedera parah selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Lorong Kucing, Pulau Tikus, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.15 pagi apabila mangsa, Andri Jimin, 23, dari Balai Polis Pulau Tikus dikatakan baru saja selesai tugasan rondaan cegah jenayah dan keluar dari kawasan balai untuk pulang. Ketika melalui Jalan Gotlieb, sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 37 tahun secara tiba-tiba membelok di depannya.

Jurucakap polis berkata, kereta wanita itu membelok secara tiba-tiba di Jalan Kucing, menyebabkan Andri tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kiri pintu depan kereta, menyebabkan mangsa parah akibat hentakan kuat.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa cedera teruk di kepala, kaki kiri patah dan pangkal paha koyak.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Katanya, pemeriksaan ke atas pemandu kereta mendapati dia memiliki lesen memandu yang sah manakala keputusan ujian pernafasan negatif. Wanita itu juga tidak cedera.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM4,000 atau melebihi RM10,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pemuda berusia 20-an parah selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu dari arah bertentangan di persimpangan Jalan Jelutong/Jalan Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, pemuda yang masih belum dikenalpasti identiti itu dipercayai menunggang motosikal seorang diri dari arah Jalan Sungai Pinang ke pusat bandar sebelum sebuah kereta jenis Perodua Myvi secara tiba-tiba merempuh mangsa dan kereta yang dipandunya berpusing dan masuk ke kawasan premis perniagaan di Jalan Jelutong.

Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu kedua-dua kenderaan rosak teruk, termasuk bahagian depan kereta remuk dan kedua-dua mangsa cedera dengan penunggang motosikal dilaporkan patah kaki.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk sama ada pemandu kereta berada di bawah pengaruh alkohol.

Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN || am@hmetro.com.my

Tiada ulasan:

- Gunakan lah ruang komen dengan sebaik-baiknya
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan