
LABIS– Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta politik kebencian, perpecahan dan serangan peribadi tidak digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO melahirkan rasa terkejutnya terhadap penggunaan taktik politik kotor itu tetapi menyatakan keadaan masih tidak serius dan terkawal.
"Kita tidak mahu dibawa ke Labis, politik kebencian, politik perpecahan, yang menyentuh peribadi, fitnah, calar kereta dan tabur SMS kerana selepas ini mereka semua akan balik ke kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang akan menanggung kesan hasil penggunaan taktik politik kotor itu adalah masyarakat tempatan di kawasan DUN itu.
"Orang-orang di Labislah yang akan tinggal untuk meneruskan kehidupan dan terpaksa menanggung kesannya,” katanya kepada pemberita selepas “walkabout” di sekitar bandar Labis ini hari ini.
Pengundian bagi PRK DUN Tenang akan diadakan pada 30 Januari ini. – Bernama
Tiada ulasan:
-WARNING
-Admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan